Bayi lelaki ditemui dibuang
![]() |
INSPEKTOR Najahah Abdul Fatah mendukung bayi yang ditemui di kawasan letak kereta Klinik Kesihatan Kota Setar untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk pemeriksaan semalam. |
ALOR SETAR 14 Nov. – Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan, ditemui ditinggalkan di dalam sebuah beg di bawah sebatang pokok di belakang Klinik Kesihatan Alor Setar, di sini hari ini.
Bayi yang masih bertali pusat itu dijumpai seorang wanita yang melalui kawasan tersebut pukul 12 tengah hari, sebelum menyerahkannya kepada Klinik Kesihatan Alor Setar di sini.
Jururawat yang enggan dikenali berkata, ketika ditemui, si kecil tersebut dibalut dengan tuala.
“Bayi itu telah diberi susu dan kami menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Alor Setar di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu berkata, siasatan polis percaya bayi itu yang berketurunan Melayu baru dilahirkan kira-kira empat jam lalu.
“Bayi tersebut dalam keadaan sihat dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya sambil memberitahu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Suspek wanita kes buang bayi masih ditahan
KUALA TERENGGANU 17 Okt. – Polis masih menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kes bayi masih hidup ditemui dalam tangki air pam tandas di sebuah rumah sewa di Kemaman awal pagi Jumaat lalu.
Suspek yang dipercayai ibu kepada bayi itu perlu ditahan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua hari lagi bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, ketika ini, polis memerlukan masa untuk menyoal siasat wanita berusia 23 tahun itu berikutan keadaannya yang masih lemah.
“Kita akan menunggu masa yang sesuai sebelum membuat soal siasat terhadap wanita berkenaan berhubung kes itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai penemuan seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan dua jam dalam tangki air pam tandas sebuah rumah sewa di Kemaman kira-kira pukul 3 pagi pada Jumaat lalu.
Bayi yang masih hidup serta bertali pusat itu dijumpai oleh rakan sebilik suspek.
Difahamkan, bayi itu kini stabil dan mungkin akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dipelihara.
Remaja campak bayi baru dilahir dari flat
Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my
pengarang@utusan.com.my
![]() |
Seorang anggota polis menjalankan siasatan di tempat bayi baru lahir dicampakkan ibunya ke dalam longkang di Flat Taman Segar, Selayang, semalam. |
KUALA LUMPUR 3 Okt. – Tiada perkataan dapat diungkapkan melainkan sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila seorang remaja perempuan tergamak mencampakkan bayi baru dilahirkannya dari tingkat dua sebuah flat di sini.
Mayat bayi yang lengkap sifatnya itu kemudian ditemui oleh orang awam di dalam longkang di Flat Taman Segar, Selayang, di sini hari ini.
Ketika ditemui pukul 7 pagi, mayat bayi itu dalam keadaan tertiarap.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan remaja perempuan itu yang berusia 19 tahun di rumahnya di tingkat dua di flat itu.
Katanya, remaja yang bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di Bandar Baru Selayang, mengaku melahirkan bayi itu di dalam tandas rumah yang dijadikan asrama pekerja, pukul 4 pagi ini.
“Remaja itu mengaku yang bayinya tersebut sudah tidak bernyawa selepas dilahirkan lalu membuangnya ke dalam longkang.
“Tiada siapa mengetahui meskipun rumah tersebut turut didiami lapan lagi pekerja restoran termasuk empat pekerja Indonesia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Penduduk, Zarizan Shahari, 27, memberitahu, dia menemui bayi malang itu setelah diminta oleh seorang penduduk lain untuk memeriksa sebuah objek yang mencurigakan di dalam longkang.“Ketika itu saya baru pulang dari kampung di Jengka, Pahang. Alangkah terkejutnya apabila saya dapati ia adalah mayat seorang bayi yang masih bertali pusat.
“Saya terus menghubungi talian 999, sebelum pihak polis datang memeriksa dan mengambil bayi berkenaan.
“Saya difahamkan, rakan mangsa tidak tahu kejadian itu dan hanya menyedarinya apabila melihat tilam dipenuhi dengan kesan darah,” ujarnya yang memberitahu remaja berkenaan baru sahaja berpindah ke flat itu dua bulan lalu.
ARKIB : 28/07/2011
Bayi baru lahir dibuang dalam longkang
![]() |
| HAMID Marsuki menunjukkan tempat dia menemui mayat bayi lelaki di Taman Mekar, Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor, semalam. (Gambar kecil), mayat bayi yang masih lengkap dengan tali pusat dan uri. |
BATU PAHAT 29 Jan. – Apalah dosa seorang bayi yang baru dilahirkan ini apabila dia diperlakukan seperti haiwan dan dicampakkan ke dalam sebuah longkang di Taman Mekar Air Hitam, dekat sini hari ini.
Namun itulah terjadi terhadap si kecil ini yang mayatnya ditemui oleh pekerja kontrak di dalam longkang sebuah kawasan perumahan yang masih dalam pembinaan.
Mayat bayi lelaki itu ditemui Hamid Marsuki, 43, pada pukul 8.10 pagi ketika hendak memulakan tugas membina tembok rumah dan longkang di Jalan Mekar 5 di taman tersebut.
Menurutnya, dia terkejut melihat mayat bayi dengan kesan darah dalam longkang sedalam hampir setengah meter.
“Saya dapati bayi tanpa seurat benang berada dalam keadaan mengiring, lengkap dengan tali pusat dan uri yang belum dipotong.
“Mungkin dibuang pada lewat malam atau awal pagi ini kerana pada pukul 8 pagi hingga 10 pagi semalam, kami masih menjalankan tugas bina longkang dan tembok rumah di kawasan itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris ketika dihubungi berkata, mayat bayi lelaki yang cukup sifat itu dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk bedah siasat.
Menurut beliau, bayi itu dipercayai dibuang di situ dalam tempoh 24 jam lalu dan tiada kesan kecederaan lain ditemui.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan cuba membuang bayi.
Ibrahim meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar menghubungi polis bagi membantu siasatan.
Lagi bayi perempuan dibuang
Oleh RAFIDAH YAAKUB
pengarang@utusan.com.my
pengarang@utusan.com.my
SANDAKAN 24 Jan. – Apa gelaran selayaknya diberikan kepada manusia bertopengkan syaitan yang sanggup membunuh dan membuang anak sendiri?
Nampaknya, kes pembuangan bayi seperti tiada penghujung apabila hari ini satu lagi mayat ditemui terapung di perkampungan atas air, Kampung Gas Baru, Jalan Batu Sapi di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marung berkata, mayat bayi berkenaan yang masih bertali pusat ditemui orang awam kira-kira pukul 6 pagi ini.
“Mayat bayi perempuan itu telah ditemui di bawah rumah penduduk kampung oleh orang awam yang kemudiannya menghubungi pihak polis,” katanya.
Tambah Rowell, sepasukan anggota polis kemudiannya telah bergegas ke lokasi penemuan mayat bayi berkenaan bagi menjalankan siasatan lanjut.
Beliau berkata, mayat bayi tidak berdosa itu dihantar ke Hospital Duchess Of Kent di sini untuk bedah siasat.
Katanya, kes ini disiasat bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dan menyembunyikan kelahiran.
“Kita harap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya segera melaporkannya kerana kerjasama mereka sangat penting bagi membolehkan individu yang melakukan kerja terkutuk itu dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Bulan ini sahaja sebanyak lima kes pembuangan bayi telah direkodkan di negeri ini, masing-masing empat kes di Kota Kinabalu dan satu di Sandakan.
2 sahabat terkejut jumpa mayat bayi terapung
![]() |
| BEBERAPA anggota polis memeriksa plastik mengandungi mayat bayi yang ditemui di Sungai Skudai di perkampungan Orang Asli Kampung Bakar Batu, Taman Perling, Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/Baazlan IbrahiM |
JOHOR BAHRU 16 Jan. – Dua sahabat yang sedang mandi-manda di sungai berhampiran Kampung Sungai Bakar Batu, Taman Perling di sini terkejut apabila menemui sebuah beg plastik terapung yang mengandungi mayat seorang bayi perempuan.
Pada mulanya, Mazni John dan Pina Paizal, kedua-duanya berusia sembilan tahun menganggap beg plastik yang terapung berhampiran mereka hanya berisi pakaian terbuang.
Namun, sebaik sahaja dua anak Orang Asli itu membuka beg plastik berkenaan, mereka menjerit ketakutan apabila menemui mayat bayi.
Dua kanak-kanak itu bergegas pulang ke rumah masing-masing yang terletak tidak jauh dari sungai berkenaan.
“Saya ingatkan ada pakaian yang dibuang dalam beg plastik itu, rupa-rupanya mayat bayi. Kami kemudian segera pulang dan memaklumkannya kepada ibu bapa kami,” kata Mazni ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung mengenai penemuan mayat bayi itu kira-kira pukul 1 petang.
“Polis yang bergegas ke tempat kejadian menemui satu bungkusan plastik berwarna kuning terapung di sungai sebelum membawanya naik ke darat.
“Sebaik sahaja anggota polis membuka beg plastik tersebut, mereka menemui satu mayat bayi yang masih bertali pusat,” katanya ketika dihubungi di sini.
Ruslan memberitahu, pemeriksaan awal mendapati, tiada kesan kecederaan pada mayat bayi itu yang dipercayai baru dilahirkan.
Mayat bayi tersebut kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat, katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan hingga kini belum ada tangkapan dilakukan.
Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penemuan mayat bayi berkenaan diminta menghubungi talian hotline di 07-2212999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.






No comments:
Post a Comment